25 November 2019

1. JUJUR

Pengenalan
Jujur merupakan sifat terpuji yang perlu diamalkan oleh seseorang pada setiap masa. Kemuliaan diri seseorang itu terletak pada kejujurannya. Kejujuran bukan sifat semula jadi manusia dan oleh sebab itu ia hendaklah dipupuk dan dididik ke atas seseorang itu sejak dari kecil lagi. Mengamalkan kejujuran merupakan suatu proses yang berterusan dan selama-lamanya.

Dipercayai
Kejujuran seseorang itu dinilai melalui kata-kata dan perbuatannya. Kata-kata sahaja tidak cukup untuk orang lain mempercayai kita. Seorang ayah menceritakan kepada anaknya yang dia suka membaca buku pada waktu lapang. Anak-anak akan percaya dengan pengakuan itu apabila sering melihat ayah mereka membaca buku setiap kali ada kelapangan. Begitu juga seorang anak yang melanggar pasu bunga ketika bermain basikal kecil di ruang tamu berbohong ketika ditanya oleh ibunya dengan mengatakan dia tidak melakukannya. Selepas beberapa minit kemudian anak itu mengaku pula kerana adiknya memberitahu ibu yang dia nampak abangnya melanggar pasu itu. Ini boleh menyebabkan pada masa akan datang kata-kata anak itu kurang dipercayai oleh ibu dan adik serta orang di sekitarnya. Orang jujur akan sentiasa dipercayai oleh orang lain.

Disenangi
Orang jujur akan lebih disenangi oleh orang yang berada di sekeliling dan mengenalinya. Perasaan curiga dan bimbang terhadap orang jujur tidak wujud dalam diri mereka. Seorang pekerja di sebuah syarikat terjumpa dompet mengandungi kad pengenalan dan wang tunai melebihi RM500.00 telah berusaha mencari dan menyerahkan kepada pemiliknya. Apabila berita itu tersebar kepada rakan-rakan lain ternyata memberi kesan positif kepadanya iaitu pekerja lain akan merasa senang dengan sikapnya itu. Berbeza pula dengan orang tidak jujur, kehadiran mereka kurang disenangi oleh orang lain kerana wujud kebimbangan dan tanggapan negatif terhadap mereka. 

Dicontohi
Bersikap jujur dalam semua aspek kehidupan akan menjadi contoh teladan kepada keluarga, rakan dan anak buah kita. Seorang ibu yang menjual nasi lemak sentiasa menggunakan cili kering yang elok, membasuh dengan bersih dan menyimpan di tempat selamat akan diperhatikan oleh anak-anaknya dan mereka akan menganggap ibu mereka sebagai penjual nasi lemak yang jujur kerana sentiasa menjaga setiap proses masakan dengan baik. Kejujuran ibu itu akan dicontohi oleh anak-anaknya dalam kehidupan mereka. Orang yang tidak jujur tidak akan dijadikan contoh oleh orang lain walaupun mereka berkedudukan tinggi, berharta, berilmu atau pemimpin yang berpengaruh.

Penutup
Sikap jujur bukan sahaja memberi kekuatan dan kesan positif kepada kita yang mengamalkannya tetapi juga dapat mewujudkan keharmonian dan hubungan baik dengan orang lain di sekeliling kita. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

30. MENGENANG JASA

Kita dikenang kerana jasa yang pernah kita taburkan kepada orang lain atau masyarakat. Semasa kita berkeupayaan dari segi tenaga, harta, w...