Pengenalan
Amanah merupakan kepercayaan yang diberikan kepada seseorang untuk melaksanakan tanggungjawab dan menjaganya dengan baik. Sikap amanah perlu dipupuk dan diamalkan oleh seseorang pada setiap masa. Orang beramanah sama ada sebagai pemimpin atau pekerja sangat diperlu dalam memajukan organisasi atau masyarakat.
Melaksana
Sebarang amanah yang kita pikul atau pegang adalah menjadi tanggungjawab kita melaksana dan menyempurnakannya. Mungkin amanah itu berat tetapi disebabkan kita sanggup dan telah menerimanya maka tidak boleh tidak kita perlu menguruskan dengan baik amanah itu. Seorang individu menerima tawaran bekerja sebagai guru dengan bayaran gaji bulanan tertentu hendaklah menjalankan tugas seperti yang terkandung dalam surat penerimaan tawaran itu. Kegagalan melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang baik merupakan tindakan yang tidak beramanah. Sebaliknya guru itu adalah orang beramanah sekiranya dia dapat melaksanakan tanggungjawab selaras dengan surat tawaran kerja itu. Melaksana dan menyempurnakan apa yang kita dipertanggungjawabkan adalah ciri penting bagi orang beramanah.
Menjaga
Amanah dikaitkan dengan penjagaan sesuatu harta atau wang. Kita perlu menjaganya dengan baik selama masa kita diberi tanggunggjawab. Seorang bapa yang memiliki wang dan barang kemas meninggal dunia mempunyai anak-anak yang masih kecil. Dia telah mewasiatkan kepada adiknya supaya menyerahkan kepada anak-anaknya apabila mencapai umur 18 tahun. Adiknya adalah orang yang beramanah jika dapat menjaga harta itu dengan baik dan menyerahkan semua setelah sampai masanya. Orang beramanah merupakan orang yang berjaya menjaga harta atau wang dengan baik dan menyerahkan kembali kesemuanya kepada mereka yang berhak.
Berkongsi
Rezeki yang kita terima daripada Tuhan tidak sama. Setengah orang memperolehi pendapatan yang sedikit dan setengahnya pula memiliki harta yang berlimpah. Harta yang kita terima adalah amanah Tuhan untuk kita agih-agihkan bukan sahaja untuk keperluan diri sendiri dan keluarga tetapi juga kepada orang yang memerlukan. Seorang pemilik syarikat beras yang kaya setiap tahun akan memperuntukkan sebahagian daripada pendapatannya untuk disumbangkan kepada mereka yang berhak menerimanya. Tindakan beliau itu mencerminkan beliau sebagai seorang yang beramanah kerana sedia berkongsi rezeki yang diterimanya. Orang beramanah sentiasa sanggup berkongsi atau berbahagi rezekinya dengan mereka yang berhak menerimanya.
Kesimpulan
Sesiapa yang memahami betapa besarnya kewajipan dalam melaksanakan tanggungjawab sesuatu perkara yang diserahkan kepadanya pasti tidak akan mengabaikan amanah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan