15 Januari 2020

3. KEWAJIPAN IBU BAPA TERHADAP ANAK

Pengenalan
Anak merupakan anugerah tertinggi daripada Allah kepada hambanya bergelar ibu bapa. Bukan semua pasangan yang berkahwin boleh mendapat anak walaupun telah berusaha dengan pelbagai cara. Ada pasangan mendapat anak dalam tempoh yang cepat selepas berkahwin dan ada yang lambat. Setengah daripada mereka masih terus berusaha untuk mendapatkan anak sehingga sanggup menghabiskan wang yang banyak tetapi masih belum berhasil. Betapa tingginya nilai seorang anak tidak dapat diukur dengan wang dan harta. Ibu bapa yang dianugerahi anak itu merupakan satu amanah besar daripada Allah kepada mereka. 

Bersyukur
Anak yang kita perolehi itu harus diringi dengan kesyukuran dan berterima kasih kepada Allah. Setiap kurniaan yang kita perolehi merupakan nikmat dan Allah menyuruh kita bersyukur seperti firmanNya, "Bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata." (Surah Al-Nahl:114). Kesyukuran yang kita tujukan kepada Allah bukan sahaja disuruh olehNya tetapi Allah juga akan menambahkan nikmat kepada kita. Allah berfirman, “Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhanmu memberitahu, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih’.” (Surah Ibrahim: 7). Sebaliknya ibu bapa akan menanggung penderitaan akibat daripada sikap mereka yang tidak mahu bersyukur atas nikmat yang Tuhan kurniakan.

Menjaga
Ibu bapa perlu menjaga anak mereka dengan baik, menyediakan makanan, pakaian dan memberi perlindungan keselamatan bagi memastikan proses pembesaran mereka berjalan dengan baik. Makanan yang diberi harus dijaga dari awal bagi mengelakkan daripada pelbagai penyakit yang boleh menimpa kepada anak-anak. Janganlah kita memberi mereka makanan yang tidak berkhasiat seperti makanan ringan dan gula-gula kerana makanan tersebut boleh mengakibatkan kerosakan kepada gigi dan juga saraf mereka dalam jangka masa panjang. Anak juga perlu disediakan pakaian yang sesuai untuk mengelakkan badan mereka terdedah kepada cuaca sama ada sejuk atau panas. Lampin yang dipakaikan kepada mereka tidak boleh dibiarkan terlalu lama supaya dapat mencegah daripada berlaku jangkitan kuman yang boleh merosak dan kesakitan kulit pada anak. Melindungi dan menjaga keselamatan anak menjadi tanggungjawab penting kepada ibu bapa memandangkan anak masih lagi kecil yang tidak dapat membezakan antara baik dan buruk.

Mendidik
Setiap anak yang dilahirkan adalah suci dan bersih daripada sebarang noda dan dosa. Pendidikan seimbang antara kebahagiaan dunia dan akhirat harus dititikberatkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak. Ibu bapa yang akan mencorakkan mereka untuk menjadi insan berguna atau tidak. Nabi bersabda, "Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibu bapa itulah yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi." (Hadis riwayat Bukhari: 1385). Mendidik anak biarlah bermula di peringkat awal lagi. Biarlah pendidikan awal yang kita berikan kepada anak mampu membentuk dirinya sebagai orang berpengetahuan, berkemahiran, berakhlak, berdikari dan beriman.

Pinjaman 
Allah memberi anak kepada kita hanyalah sebagai pinjaman semata-mata. Anak dalam keadaan baik itu diserahkan kepada kita untuk sementara waktu sahaja. Berapa lamakah masa anak itu akan berada bersama kita sama ada ketika masih kecil, kanak-kanak, remaja, dewasa atau tua tidak mampu dijangkakan. Pada bila-bila masa pun Allah boleh mengambilnya kembali. Daripada Allah anak itu datang kepada Allah jua dia dikembalikan. Ibu bapa harus menguruskan anak dengan baik supaya apabila sampai masa untuk dikembalikan semula kepada Maha Pencipta adalah dalam keadaan baik. Biarlah anak itu baik waktu dipinjam dan baik pula waktu dipulangkan. 

Amal Kebajikan 
Ibu bapa diberi peringatan oleh Allah bahawa anak yang kita perolehi itu merupakan perhiasan dunia sahaja. Setiap perhiasan itu bersifat sementara dan lama kelamaan ia akan mengalami kepudaran, kerosakan dan kemusnahan. Kita diberi pilihan sama ada ingin menjadikannya sebagai perhiasan kehidupan dunia semata-mata atau membangunkan menjadi anak yang berakhlak mulia serta banyak membuat amal kebajikan kepada masyarakat. Firman Allah, “Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal kebajikan yang terus-menerus adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.” (Surah Al-Kahfi: 46). Selain usaha ibu bapa untuk menjadikan anak mereka termasuk dalam golongan orang yang beramal kebajikan kita juga perlu banyak berdoa dan menaruh harapan kepada Allah agar anak kita diterima segala amalan kebajikannya. 

Ujian 
Walaupun anak merupakan anugerah Allah kepada ibu bapa tetapi dalam masa yang sama ia juga merupakan ujian kepada mereka. Ujian yang kita hadapi adalah pelbagai bentuk misalnya keadaan anak dari segi fizikal iaitu sama ada lengkap atau tidak, mental iaitu normal atau tidak dan tingkah laku iaitu baik atau tidak. Allah berfirman, "Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar." (Surah Al-Anfal: 28). Dalam proses pembesaran dan perjalanan anak menuju dewasa, ibu bapa banyak berhadapan dengan ujian. Mereka diuji dengan masa misalnya anak akan menangis tanpa mengira masa seperti tengah malam ketika kita sedang lena tidur. Ibu atau bapa terpaksa bangun melayani anak walau pun dalam keadaan mengantuk. Sekiranya anak sakit, kita perlu menjaga setiap masa sehinggalah ia sihat. Apabila anak sudah mula membesar kita pula berhadapan dengan tingkah lakunya yang menguji kesabaran kita seperti suka melawan atau memberontak. Waktu remaja pula kita diuji dengan sikapnya yang suka bergaul dengan rakan-rakan yang terlibat dengan gejala-gejala sosial. Semasa mereka dewasa pula kita diuji adakah mereka mengambil berat atau menjengok ketika kita sudah lanjut usia. Ibu bapa yang berjaya menempuh semua ujian tersebut akan mendapat kebaikan yang berupa pahala yang besar daripada Allah.

Rezeki 
Ibu bapa dilarang sama sekali membunuh anak kerana takut kepada kemiskinan hidup. Allah memberi jaminan kepada kita setiap anak yang lahir itu akan diberi rezeki secukupnya dan bahkan rezeki kita pun Allah akan berikan seperti FirmanNya, “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kemiskinan. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.” (Surah Al-Isra': 31). Bukti sudah banyak kita lihat bagaimana sebuah keluarga yang miskin dengan mencari nafkah seperti kata pepatah, kais pagi makan pagi kais petang makan petang tetapi kehidupan mereka tetap baik. Ada yang bekerja sebagai penoreh getah atau pesawah dengan tanggungan anak yang ramai tetapi akhirnya mereka hidup bahagia pada usia tua. Ini disebabkan anak-anak mereka berjaya dalam hidup seperti menjadi doktor, jurutera, peguam, guru, peniaga dan sebagainya. Anak mereka berlumba-lumba hendak membantu dan memberi kemudahan termasuk menyediakan rumah kediaman, kenderaan dan perbelanjaan kepada ibu bapa. Kita tidak perlu takut dengan kesusahan dan kemiskinan apabila Tuhan menganugerahkan anak kepada kita. 

Penutup
Apabila Allah menganugerahkan anak kepada kita sudah semestinya disediakan sekali dengan rezekinya. Kitalah yang mencorakkan anak yang bersih daripada dari noda dan dosa itu untuk menjadi insan yang beriman. Kesabaran, ketabahan dan bertawakkal adalah kunci utama dalam usaha membentuk anak yang beriman. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

30. MENGENANG JASA

Kita dikenang kerana jasa yang pernah kita taburkan kepada orang lain atau masyarakat. Semasa kita berkeupayaan dari segi tenaga, harta, w...