30 Januari 2020

30. MENGENANG JASA

Kita dikenang kerana jasa yang pernah kita taburkan kepada orang lain atau masyarakat. Semasa kita berkeupayaan dari segi tenaga, harta, wang dan kedudukan kita mempunyai peluang yang besar untuk berjasa kepada mereka.

Jasa melalui sumbangan tenaga kita seperti membantu isteri mengemas rumah, membasuh pakaian atau turut serta dalam majlis gotong royong seperti membersih kawasan perumahan atau menyediakan masakan dalam majlis pekahwinan jiran. Kita juga boleh memberi sumbangan wang atau barangan sekadar kita mampu kepada saudara mara atau orang yang memerlukan.

Ketika kita berkuasa atau berkedudukan tinggi kita perlu mewujudkan hubungan baik dengan orang bawahan dan orang-orang yang kita kenali. Perasaan rendah hati dan sentiasa senyum bila bertemu dengan mereka merupakan sikap yang pasti akan dikenang apabila kita sudah tidak lagi mempunyai kedudukan atau pangkat. 

Pemimpin masyarakat seperti wakil rakyat, ketua jabtan, menteri, pengerusi pertubuhan atau orang berada yang berjaya menyediakan kemudahan awam seperti membina jambatan, jalan raya, taman rekreasi, tempat ibadat atau sekolah merupakan orang yang berjasa dan dikenang masyarakat.

Ramai di kalangan kita ketika mempunyai harta, kedudukan atau kuasa tidak menggunakan peluang untuk membantu orang lain dan mewujudkan hubungan baik dengan mereka tetapi lebih memberi perhatian untuk membangunkan diri sendiri dan keluarga. Golongan seperti ini tidak akan dikenang sebagai orang yang berjasa setelah mereka sudah tidak lagi mempunyai kelebihan itu atau meninggal dunia. 

Kita dikenang baik kerana jasa baik yang kita sumbangkan dan sebaliknya kita tidak dikenang atau dikenang sebagai orang yang tidak berjasa kerana kita tidak menggunakan peluang ketika kita mempunyai peluang untuk membuat sesuatu kebaikan kepada orang lain.


29. NIKMAT KEJAYAAN

Kejayaan merupakan idaman setiap insan. Kita akan berusaha dengan pelbagai usaha dan cara untuk mencapai kejayaan. Selagi belum berjaya selagi itulah seseorang itu harus berusaha. 

Kejayaan tidak dapat dicapai tanpa usaha yang gigih. Seorang penjual nasi lemak perlu bangun awal pagi untuk menyediakan nasi lemak seperti membasuh beras, memasak nasi, menyediakan lauk, membawa ke gerai tepi jalan untuk jualan. Kejayaan baginya apabila berjaya menyiapkan nasi lemak dan dapat menjual kesemua nasi lemak itu. 

Musuh kepada kejayaan adalah berputus asa. Berputus asa sebelum ke garisan penamat bererti kita gagal dalam perjalanan. Biar berkali-kali gagal kita perlukan meneruskan usaha sehingga mencapai titik penamat iaitu kejayaan. Kadang-kadang kita hampir mencapai garisan penamat tetapi disebabkan berputus asa kita gagal. Teruskan usaha sampai berjaya kerana pada saat kejayaan itu nanti kita akan dapat merasakan betapa nikmatnya kejayaan itu.

28. MENANGANI MUSIBAH

Katakan anda menjemput orang ramai ke majlis kesyukuran di rumah anda dan anda memberi syarat kepada mereka bahawa hanya orang yang tidak pernah ditimpa musibah sahaja yang dibenarkan hadir. 

Anda janganlah terkejut jika pada hari majlis itu berlangsung anda mendapati tiada seorang pun tetamu akan hadir. Ini bermakna tidak ada seorang manusia yang dilahirkan di dunia ini yang tidak pernah ditimpa musibah atau dugaan. 

Anda tidak akan mampu untuk menolak atau melarikan diri dari musibah kerana ia pasti terjadi. Apa yang anda mampu lakukan supaya anda tidak kecewa atau menderita ialah anda hendaklah menguruskan musibah itu dengan cara yang baik dan bijaksana. 

Antaranya ialah bersabar, muhasabah diri, memperbanyakkan ibadat kepada Illahi, membuat kebajikan, tolong menolong, bersikap positif dan sentiasa berdoa. 

Oleh itu anda hendaklah menguruskan musibah itu dengan bijaksana agar anda dapat menjalani kehidupan dengan baik.

29 Januari 2020

27. PERASAAN DENDAM

Perasaan dendam merupakan sifat normal yang dimiliki oleh seseorang tetapi jika kita dapat menghilangnya adalah lebih baik. 

Orang yang suka berdendam boleh merugikan diri sendiri. Memaafkan seseorang yang pernah membuat salah kepada bukan suatu perkara mudah tetapi jika kita berjaya melakukannya kita merupakan orang berjaya. 

Dendam banyak memberi keburukan kepada kita. Kita tidak dapat menenangkan diri kita sendiri disebabkan setiap kali kita teringat atau melihat atau bertemu orang yang kita dendamkan itu timbul kebencian yang tinggi dalam diri kita. Kebencian yang tinggi menjadikan fikiran kita tidak tenteram dan tidak tenang.

Hubungan kita dengannya sukar untuk dipulihkan dan menjadi semakin jauh. Bahana dendam akan melebar kerana kita bukan sahaja tidak menyukainya tetapi juga keluarganya seperti isteri atau suami dan anak-anaknya. 

Semakin kita berdendam semakin jauh jarak hubungan baik untuk kita wujudkan. Hanya dengan mengikiskan perasaan dendam dan memaafkan sahaja serta melupakan kisah lama barulah hubungan baik dapat didekatakan dan diwujudkan semula. 

Memaafkan orang yang kita dendam disebabkan dia membuat salah atau menganiayai kita adalah sangat berat untuk dilakukan tetapi kita perlu memaafkannya demi kebaikan diri kita sendiri.

26. MENDIDIK ANAK

Mendidik anak tiada jalan mudah. Terdapat anak berjaya dan tidak berjaya. Kita bersyukur jika anak kita semuanya berjaya tetapi jika ada yang kurang berjaya kita perlu pertingkatkan lagi usaha bagi memastikan kejayaan boleh dicapai. 

Tanggungjawab mendidik anak kurang berjaya memerlukan usaha yang lebih. Kita perlu banyak bersabar, tabah dan tidak mudah berputus asa. 

Kita perlu memberi contoh baik kepada anak-anak terlebih dahulu sebelum menyuruh mereka melakukannya. Anak-anak kita mudah diajak melakukan sesuatu yang baik apabila mereka melihat kita melakukan terlebih dahulu. 

25. PENIAGA JUJUR

Jujur itu terpuji dan tidak jujur itu merugikan. Kita bertindak jujur atau tidak agak susah untuk dikesan oleh orang lain. Kita lebih mengetahui tentang apa yang kita lakukan. Perbuatan tidak jujur melibatkan penipuan dan merugikan orang lain. 

Peniaga selalunya terdedah dengan aspek kejujuran. Mereka yang tidak jujur boleh menjual barang-barang dengan mencampurkan yang baru dan lama menyebabkan pembeli tidak sedar adanya percampuran itu. Contohnya ikan, buah-buahan, beras, sayur, telur dan sebagainya. 

Orang tidak jujur biasanya hidup senang dalam jangka pendek dan susah  jangka panjang. Biarlah kita mendapat untung sedikit kerana jujur daripada banyak kerana ketidakjujuran. 

24. SUKA MEMBACA BUKU

Sebijak mana pun kita seperti memiliki ijazah, master atau phD tetapi jika kita kurang atau berhenti membaca buku maka akhirnya kita akan menjadi orang kurang bijak pula. Samalah dengan sebilah pisau yang tajam jika tidak diasah akhirnya tumpul juganya. Pisau tumpul kegunaannya menjadi kurang berguna. 

Sekiranya kita kurang bijak tetapi jika kita banyak membaca buku kelamaannya kita akan menjadi lebih bijak. Menjadi orang suka membaca tidaklah begitu sukar. Kita amalkan membaca buku sekurang-kurangnya lima muka surat setiap hari. Jika kita membaca 10 hari bererti sudah 50 muka surat. Jika setahun bererti sudah 1825 muka surat. Seandainya setiap buku mempunyai 150 muka surat bererti kita sudah membaca 12 buah buku dalam setahun. Bayangkan betapa banyaknya pengetahuan kita berbanding dengan orang yang tidak langsung membaca buku dalam tempoh yang sama iaitu sudah pasti ia tidak mempunyai pengetahuan yang sama seperti yang anda miliki. 

Dalam mana-mana organisasi atau masyarakat, orang berpengrtahuan biasanya lebih dihargai berbanding dengan orang kurang berpengetahuan. 

23. BISIKAN HATI

Sama ada kita perasan atau tidak, bisikan hati dalam diri kita sering kali seakan-akan kedengaran sebelum kita hendak melakukan sesuatu tindakan yang melibatkan diri sendiri atau orang lain.

Bisikan hati ini selalunya meminta kita untuk berbuat baik terutamanya ketika kita hendak melakukan sesuatu yang tidak baik seperti mengumpat, memfitnah, maksiat, tidak mematuhi ajaran agama, melanggar undang-undang, menganiayai, menzalimi, tidak amanah dan sebagainya.

Selalunya jika kita menurut nasihat bisikan hati itu, pada akhirnya kita akan bersyukur tetapi jika menolak bisikan itu, biasanya kita akan menyesal kesudahannya. Contohnya katakanlah kita hendak memburukkan atau mengumpat seseorang tiba-tiba dalam hati berbisik meminta kita supaya tidak usah mengumpat kerana dosanya sangat besar dan untuk diampunkan dosa mengumpat itu kita bukan sahaja perlu memohon ampun dengan Tuhan tetapi juga meminta maaf dengan orang yang kita umpat itu.

Contoh lain pula, katalah kita merupakan seorang pemimpin dan berpeluang untuk menganiayai salah seorang daripada anak buah kita dengan pelbagai cara bagi menjatuhkan maruahnya. Tiba-tiba sebelum tindakan itu dilakukan kedengaran bisikan hati agar membatalkan hasrat kita itu kerana dikhuatiri pada suatu masa nanti, mungkin diri atau keluarga kita pula akan menerima nasib yang sama.

Di sini terserahlah kepada kita untuk membuat pilihan dan selalunya jika kita menurut bisikan hati, kita akan selamat dan begitulah di sebaliknya, pastinya kita akan menyesal berpanjangan.


22. HILANG KEIMANAN

Apa yang sudah anda miliki tentu sahaja anda tidak mahu kehilangannya, tambahan pula jika ia merupakan sesuatu yang berharga atau begitu sukar untuk memilikinya. Anda bukan sahaja akan bersedih tetapi juga mungkin menangis dan tidak habis-habis memikirkannya. Contohnya jika anda kehilangan wang yang banyak, kereta anda dicuri orang, dibuang kerja, jam Rolex yang baru dibeli terjatuh ke dalam laut dan sebagainya.

Akan tetapi pernahkah anda bersikap sedemikian sekiranya anda kehilangan keimanan? Misalnya anda melakukan sesuatu kesalahan atau kejahatan seperti tidak bersolat, berjudi, berzina, menfitnah, menganianyai atau menzalimi orang lain. Seharusnya anda perlu menyesali, bersedih dan menangis kerana dengan perbuatan tersebut bererti anda kehilangan keimanan.

Antara kehilangan harta benda dengan keimanan sesungguhnya  jauh beza dari segi nilainya. Anda boleh lagi berusaha mencari ganti jika anda kehilangan harta benda tetapi jika kehilangan iman, sudah pasti tiada gantinya lagi kecuali memohon keampunan daripada Allah swt dan benar-benar bertaubat untuk tidak mengulanginya lagi.

Dari segi dosa pula, anda tidak berdosa andainya anda kehilangan harta benda tetapi tentunya anda akan berdosa jika anda kehilangan keimanan. Bahkan iblis dan syaitan sangat menyukai orang yang melakukan sesuatu perkara yang boleh menghilangkan keimanan. Ini kerana mereka mahu menarik orang juga masuk ke neraka bersama-sama mereka.

21. HIDUP BERPASANGAN

Setiap manusia memerlukan pasangan hidup supaya zuriat manusia berkekalan dari satu generasi ke generasi. Tanpa pasangan sudah pasti manusia akan pupus di muka bumi ini. Tuhan jadikan lelaki dan perempuan adalah bagi memastikan kita boleh meneruskan kehidupan berpanjangan sehinggalah berlaku hari kiamat.

Sepasang kaki dapat berjalan atau berlari dengan baik berbanding dengan satu kaki. Lahirnya zuriat makhluk kerana mereka berpasangan. Begitulah kekuatan yang anda boleh lakukan andainya dilakukan dengan cara berpasangan.

Sebuah pasukan atau organisasi tidak akan menjadi kuat atau cemerlang sekiranya tiada pasangan dan dalam konteks ini pasangannya ialah antara pemimpin atau ketua dengan anak buah atau pekerja mereka.

Seorang pemimpin yang bagus tidak akan menjadi kuat jika tidak dibantu oleh anak buahnya yang bagus; dan begitulah juga jika anak buahnya cemerlang tidak akan menjadi maju oraganisasinya jika para pemimpin mereka tidak cemerlang.


20. INGAT ORANG MISKIN

Anda mungkin dilahirkan dalam kalangan keluarga kaya, sederhana dan miskin.


Jika anda merupakan keluarga kaya selalunya apa yang anda inginkan anda akan dapat menikmatinya. Anda boleh menikmati makanan ayam goreng di restoran KFC atau burger di Mc Donald kerana keluarga anda berkemampuan. Pada musim cuti sekolah, anda tentu boleh melancong ka sana sini.


Ini berlainan dengan mereka yang miskin. Walaupun keinginan untuk berhibur atau mandi manda di taman air seperti Desa Water Park atau Sunway Lagoon atau melancong ke negara asing, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana ibu bapa mereka tidak berkemampuan.


19. MENGATASI KETAKUTI MATI

Mati pasti terjadi terhadap seseorang termasuk anda, cuma saat dan waktunya sahaja yang tidak dapat diketahui oleh sesiapa kecuali Allah swt. Mati tidak mengenal usia sama ada ketika masih dalam perut ibu, bayi, kanak-kanak, remaja, orang muda, dewasa dan tua. Sudahkah anda bersedia menempuh alam yang baru iaitu alam barzakh dan alam akhirat.
Terdapat dua kategori manusia mengenai mati. Pertama, manusia yang tidak takut pada mati. Kedua, golongan yang takut pada mati. Jika anda merupakan golongan yang kedua dan anda ingin mencari jalan supaya tidak takut pada mati, anda boleh mencuba cara-cara berikut:-

a) Sentiasa ingat bahawa kematian itu pasti akan terjadi pada bila-bila masa terhadap anda.

b) Sentiasa mengamalkan niat, berbicara dan perbuatan yang baik dalam kehidupan seharian baik kepada diri sendiri, keluarga, jiran, masyarakat, organisasi dan negara.

c) Tidak melakukan perbuatan maksiat dan melanggar hukum agama.

d) Sentiasa mengeluarkan zakat dan memberi sedekah atau sumbangan kepada pihak yang memerlu atau layak menerimanya.

e) Sentiasa melawat orang sakit sama ada di rumah atau di hospital.

f) Sentiasa menziarahi orang mati dan tanah perkuburan.

g) Tidak menderhaka kepada ibubapa.

h) Sentiasa melaksanakan suruhan dan perintah Allah swt.

18. GAJI ADALAH AMANAH

Setiap pekerja sama ada di sektor kerajaan atau swasta hendaklah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan betul. Anda dibayar gaji oleh majikan bukanlah kerana wang itu adalah kepunyaan anda tetapi sebagai ganjaran disebabkan anda menjalankan tanggungjawab seperti yang dikehendaki atau ditetapkan oleh majikan anda. Ini bermakna anda diberi amanah untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.

Jika anda merupakan kakitangan awam, gaji anda adalah wang daripada rakyat jelata iaitu melalui pembayaran pelbagai jenis cukai kepada kerajaan. Cukai merupakan salah satu sumber yang besar kepada hasil kerajaan. Melalui hasil inilah gaji anda dibayar.

Anda tidak boleh melaksanakan tugas dengan sambil lewa, membazir, menyeleweng, menipu dan menyalahgunakan kuasa kerana kesemuanya itu merupakan perbuatan yang tidak beramanah. Orang yang tidak beramanah bererti mereka telah menyalahgunakan wang rakyat. Menyalahgunakan wang rakyat adalah berdosa dan sudah pasti hidup anda menjadi tidak berkat. 

Hidup yang tidak berkat bererti anda sentiasa hidup dalam kesusahan, resah dan gelisah. Bahkan bukan itu sahaja tetapi juga anda atau mungkin keluarga anda akan ditimpa musibah disebabkan perbuatan anda sendiri yang menerima gaji tetapi tidak menjalankan kerja atau tugas seperti yang telah ditetapkan.

17. MENJAGA IBUBAPA




Ibubapa menjaga dan membesarkan kita sejak kecil hinggalah dewasa. Kasih dan sayang mereka kekal sepanjang hayat. Apabila kita sakit, mereka merawat kita sampai tidak cukup tidur. Betapa kasih dan sayang mereka kepada kita tidak dapat digambar oleh lukisan. Semasa kita bersekolah, bapa pula sanggup berlapar demi membeli buku dan pakaian kita. Ketika hendak masuk universiti, ibubapa sanggup bergadai atau menjual harta demi menampung segala perbelanjaan yang diperlukan oleh kita. Semasa di universiti, setiap permintaan kita terutamaanya kos untuk membeli buku dan keperluan lain sentiasa ditunaikan walaupun terpaksa meminjam dengan bank atau koperasi. semuanya dilakukan agar kita dapat meneruskan proses pembelajaran dengan jayanya.

Bila kita hendak kahwin, ibubapa akan bantu sedaya upaya yang mungkin agar majlis itu berjalan dengan baik. 

demikianlah pengorbanan ibubapa terhadap kita. Setelah kita kita dewasa dan berdikari serta berumahtangga, apakah peranan kita pula untuk membalas segala titik peluh dan pengorbanan mereka itu. Peranan yang mereka perlukan daripada kita tidaklah besar sangat yang mereka harapkan cuma jagalah mereka walau pun tidak dengan harta tetapi melalui ingatan, selalu bertanya khabar dan doakan untuk kebahagiaan mereka dunia dan akhirat.

16. PEMIMPIN TIDAK BERDUSTA

Semua pemimpin tidak boleh berdusta. Pemimpin itu termasuklah pemimpin politik, ketua organisasi, penghulu, pengarah, CEO, guru, ibu bapa, suami, isteri dan sebagainya. Anda juga adalah pemimpin yang mungkin pemimpin kecil atau besar. Sebagai pemimpin, anda hendaklah sentiasa bercakap atau berkata benar dan janganlah anda berdusta kerana ia banyak memberi keburukan bukan sahaja kepada diri anda tetapi juga orang lain.

Sabda Rasulullah saw:

"Hendaklah kamu berpegang kepada kebenaran, kerana sesungguhnya kebenaran itu memimpin kepada kebaktian, dan kebaktian itu membawa ke syurga (kebahagiaan); dan hendaklah tetap seseorang itu bersifat benar dan memilih kebenaran hingga dia menulis di sisi Allah sebagai orang yang sangat benar; dan hendaklah kamu jauhi kedustaan, kerana sesungguhnya kedustaan itu memimpin pada kedurhakaan, dan kedurhakaan membawa ke neraka (kehancuran); dan janganlah seseorang tetap berdusta dan memilih kedustaan hingga tertulis di sisi Allah sebagai pendusta." (HR Bukhari-Muslim).




28 Januari 2020

15. JOGING DAN CABARANNYA

Joging merupakan salah satu senaman yang dapat meningkatkan tahap kesihatan anda. Ramai yang ingin melakukannya termasuk anda. Sebaik sahaja memikirkan betapa pentingnya menjaga kesihatan terutamanya melakukan senaman lantas anda memutuskan untuk berjoging setiap hari mulai keesokan hari. Anda menetapkan untuk berjoging selama 30 minit setiap hari di waktu pagi dalam tempoh sebulan tanpa henti.

Setelah tiga hari anda memulakan joging, anda mula terasa tidak selesa dan malas. Kalau pada awalnya anda melakukan joging dengan penuh semangat tapi kali ini ia semakin luntur. Anda mula putus asa dan mula mencari pelbagai alasan untuk tidak meneruskannya. Akhirnya anda tidak lagi berjoging. Anda adalah orang yang berputus asa. Orang yang berputus asa adalah orang yang tidak berjaya. Anda mencipta alasan untuk gagal bukan untuk berjaya.

Sebenarnya putus asa dalam berjoging boleh diatasi dengan pelbagai cara. Putus asa ada kaitan dengan semangat. Semangat anda perlu dipulihkan supaya putus asa dapat anda atasi. Antara cara yang sangat berkesan ialah melalui internet dan anda layarilah ratusan imej atau gambar orang yang sedang berjoging. Terdapat pelbagai imej termasuk rupa orang seperti orang Asia, Barat dan Afrika; umur seperti kanak-kanak dan dewasa; bentuk badan seperti kurus, sederhana dan gemuk; tempat seperti di tepi pantai, taman, tepi sungai, tempat rekreasi, dalam bandar dan desa; dan pakaian seperti baju, seluar, kasut dan topi.

Setelah anda melihat pelbagai gambar tersebut pastinya semangat anda pulih semula dan anda tidak lagi berputus asa untuk meneruskan joging. Perasaan berputus asa tetap akan berlaku lagi dan apa yang perlu anda lakukan ialah terus mencari jalan mengatasinya terutamanya dengan cara yang disebutkan tadi. Sesungguhnya orang yang berjaya ialah orang yang tidak berputus asa dan sentiasa mencari alasan untuk berjaya bukan untuk gagal.

14. BAIK SEPANJANG MASA

Buat baik pada setiap masa merupakan satu amalan yang sangat berkesan untuk menjadikan hidup anda lebih ceria dan mengembirakan. Buat baik adalah aktiviti anda dan kegembiraan pula merupakan hasil daripada aktiviti tersebut. Hasil daripada buat baik boleh jadi cepat atau lambat. Cepat atau lambat hanyalah relatif masa tetapi hasilnya anda tetap perolehi.

Buat baik terbahagi kepada tiga iaitu niat, kata-kata dan tindakan. Jika anda menjaga ketiga-tiga aspek ini pada setiap masa anda pasti akan dapat menikmati hasil yang cukup menyenangkan diri anda.




13. MENGANIAYAI ATAU DIANIAYAI

Dua kenyataan di bawah adalah berbeza:

a) Saya akan menganiayai seseorang.

b) Saya akan dianiayai oleh seseorang.

Pastinya anda tidak mahu kedua-duanya terjadi pada diri anda. Akan tetapi jika anda terpaksa membuat pilihan salah satu daripadanya maka yang mana satukah akan menjadi pilihan anda? Apa alasan anda jika anda memilih (a) atau (b)?

Jika anda memilih (a) bererti anda adalah tergolong di kalangan orang yang tidak mempunyai hati dan perasaan kerana orang yang teraniaya itu akan mengalami penderitaan dan kesedihan akibat tindakan anda itu. Bahkan bukan setakat itu sahaja tetapi juga melibatkan maruah dirinya untuk berdepan dengan keluarga dan masyarakat. Contohnya katakan anda membuang kerja salah seorang daripada pekerja anda tanpa sebab yang munasabah tetapi di atas sebab peribadi menyebabkan pekerja anda itu terpaksa menghentikan pengajian anak-anaknya dan pindah rumah kerana tidak mampu membayar sewa lagi.  Tindakan itu adalah satu dosa kerana Allah melarang manusia menganiayai manusia lain.

Selain daripada dosa yang anda perolehi kerana melanggar larangan Allah, anda juga tidak dapat lari daripada balasan Allah semasa di dunia lagi. Paling tidak anda akan mengalami stress dan tekanan yang berat kerana setiap kali anda teringat akan perbuatan yang telah anda lakukan setiap kali pula anda akan tertekan. Ini merupakan sunnah dan keadilan Allah. Biasanya orang yang menganiayai orang lain itu sentiasa percaya yang tindakannya itu betul dan tidak mahu mengaku atau menerima kenyataan bahawa perbuatannya itu adalah salah.

Jika anda memilih (b), bererti anda berhati mulia kerana anda sanggup menderita asalkan orang lain tidak. Anda mungkin mengambil masa seminggu, sebulan atau setahun untuk pulih daripada kesedihan dan pada akhirnya anda tidak lagi bersedih. Lagipun anda tidak perlu risau kerana bukannya anda yang menganiayai tetapi anda dianiayai. Jadi bukanlah anda yang berdosa bahkan anda akan mendapat pahala sepanjang tempoh anda dianiayai dengan syarat anda bersabar.

12. MENGURANGKAN BERAT BADAN

Anda perlu makan tiga kali sehari. Makan pagi antara pukul 6.00 pagi hingga 9.00 pagi. Makan tengah hari antara pukul 12.00 t/h hingga 2.00 ptg. Makan malam antara jam 6.00 ptg hingga 7.00 mlm. 

Mengambil makanan melebihi tiga kali sehari boleh menambahkan berat badan anda. Anda harus makan tiga kali sehari dalam waktu seperti dinyatakan di atas kerana badan anda memerlukan pemakanan dalam tempoh tesebut. Kegagalan anda mengambil makanan boleh memudaratkan kesihatan anda.

Kuantiti  pengambilan makanan paling banyak adalah pagi dan dikurankan sedikit pada tengah hari. Pada waktu petang adalah kuantiti yang sedikit. Dengan kata lain pada waktu pagi pengambilan maksimum, tengah hari adalah medium dan petang adalah minimum.

Mengamalkan cara pemakanan di atas memerlukan disiplin yang tinggi kerana tindakan itu tidak mudah untuk diamalkan oleh orang yang sentiasa makan dengan banyak dan masa yang tidak menentu. Sekiranya anda boleh mengamalkannya dengan penuh disiplin selama beberapa bulan, anda boleh mencipta tabiat baru. Tabiat baru inilah boleh menjadikan anda dapat mengurangkan berat badan anda seperti yang diimpikan.

11. MENGATASI KESEDIHAN

Kesedihan merupakan satu perasaan yang tidak mengembirakan anda disebabkan berlakunya sesuatu perkara yang anda tidak ingini. Untuk memullih atau mengatasi daripada kesedihan adalah bergantung kepada jangka masa iaitu jangka masa pendek dan panjang. Kesedihan jangka masa pendek mengambil masa tidak lama seperti, beberapa jam atau hari sahaja untuk diatasi. Bagi jangka panjang, mungkin mengambil masa berbulan atau bertahun lamanya. 

Kadangkala anda juga akan bersedih dan hati menjadi sayu tanpa sebab atau anda sendiri tidak tahu di manakah puncanya. Biasanya kesedihan seperti ini tidak mengambil masa yang lama kerana anda akan dapat mengatasinya dalam masa jangka pendek sahaja. 

Walau apa jenis kesedihan sekali pun anda hendaklah mengatasinya dengan seberapa segera yang mungkin. Kelambatan mengatasinya boleh memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan anda. Kajian menunjukkan bahawa kira-kira 80% daripada penyakit yang berlaku pada seseorang adalah berpunca daripada kesedihan dan stress.

Terdapat pelbagai cara untuk mengatasi kesedihan. Antaranya:

a) Memohon doa kepada Tuhan supaya kesedihan anda dapat diatasi.

b) Meninggalkan segala perbuatan atau kelakuan yang boleh mendatangkan dosa dan memperbanyakkan amalan yang baik.

c) Sentiasa berfikiran positif.

d) Melakukan senaman atau rekreasi seperti berbasikal, joging, berenang, memancing dan sebagainya.

e) Membaca buku terutama yang berkaitan dengan masalah anda.

f) Selalu sembahyang berjemaah terutama di surau atau masjid.

g) Makan angin atau melancong ke dalam atau luar negeri.



h) Melakukan Umrah (jika anda berkemampuan).

20 Januari 2020

10. GEMBIRA SETIAP MASA

Gembira menjadi idaman setiap orang. Semua insan mahukan gembira dan tiada siapa yang tidak mahukannya. Gembira lahir daripada perasaan dan hati seseorang. Gembira dikaitkan dengan kejayaan mendapatkan sesuatu yang dingini atau dapat menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Siapa yang mengaitkan dengan kejayaan? Jawapannya ialah andalah yang mengaitkannya. Kenapa anda harus berjaya dahulu barulah mahu gembira? Kerana anda yang menetapkan peraturan sedemikian.

Sebenarnya anda silap kerana untuk gembira anda tidak seharusnya menunggu saat berjaya. Anda harus ubah segera minda anda dengan berkata bahawa walaupun saya gagal namun saya tetap gembira kerana saya sudahpun berusaha tetapi Tuhan yang menentukannya.

Jadi kalau begitu kenapa anda harus tidak gembira kerana bukan kuasa anda untuk membuat penentuan setelah berusaha dengan sedaya upaya. Anda harus yakin setiap ketentuan setelah anda berusaha habis-habisan tetapi masih gagal maka sesungguhnya pasti ada hikmah atau kebaikan daripada Allah untuk anda.

9. TUNAIKAN JANJI

Ariff merupakan pegawai persekutuan bertugas di Kajang dan bermastautin di Bangi. Ketika dalam perjalanan pulang dari satu majlis anjuran jabatan, Ariff menawarkan untuk menanam beberapa pokok kelapa di kawasan rumah ketuanya, Maswan yang berada bersamanya dalam sebuah kereta. Maswan bersetuju dan Ariff minta supaya dipastikan terlebih dahulu lokasinya supaya beliau dapat menanamnya dengan tepat dan mudah.

Setelah tiga bulan berlalu, Maswan masih berdiam diri dan Ariff bertanya pada Maswan sama ada sudah dikenalpasti lokasi tersebut. Maswan menyatakan belum dan Ariff terus berdiam diri.

Setelah setahun berlalu, Ariff masih berdiam kerana baginya Maswan tidak dapat memberi jawapan seperti apa yang dikehendakinya.

Setelah setahun setengah masa berlalu, tiba-tiba jiran Maswan bernama Amar bertemu Maswan ketika pulang dari solat Jumaat dan memaklumkan kepada Maswan bahawa petang semalam beliau telah menanam pokok kelapa mawar yang diambilnya dari kampung dan menamam sebanyak dua pokok di kawasan rumah Maswan.

Maswan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Amar dan beliau merasakan kegembiraan yang luar biasa. Kenapa Maswan merasakan kegembiraan yang luar biasa?

Jawapannya ialah kerana Maswan terlintas dengan janji Ariff itu.

Oleh itu jika sesiapa yang berjanji dengan anda dan ia tidak tunaikan dengan seribu satu alasan, janganlah anda bertindak negatif atau memarahinya kerana hak anda tidak akan ke mana cuma masa sahaja yang menentukannya. Walau bagaimanapun anda hendaklah bersabar kerana Allah sangat suka pada orang yang sabar dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan setiap apa yang berlaku.

8. INSAN YANG BAIK

Pernahkah anda berkata pada diri anda apabila anda bangun daripada tidur, "Saya mahu menjadi insan yang baik." Jika tidak pernah anda hendaklah menyebutnya setiap hari dan seberapa banyak yang boleh.

Ini kerana sebutan yang berulangkali itu merupakan doa dan lama-lama kelamaan doa anda akan dimakbulkan juga. Berdoa bererti anda memohon dan mengharapkan sesuatu daripada Illahi dan anda boleh gunakan bahasa yang anda fahami dan boleh menusuk ke dalam hati anda.

Apabila anda memahami dengan jelas dengan apa yang anda pohon akan memudahkan anda untuk merubahkan sikap anda menjadi insan yang baik.

Menjadi insan yang baik pastinya anda akan disukai atau disenangi oleh Allah, keluarga dan masyarakat.




7. KEBERKATAN HIDUP

Keberkatan bererti anda mendapat kebaikan dan kegembiraan. Apabila anda membuat kebaikan pastinya anda akan dibalas dengan kebaikan atau keberkatan. Setiap kebaikan yang diperolehi akan diikuti dengan kegembiraan. Keberkatan mesti dicari dan diusahakan. Ia bukannya datang bergolek. 

Fitri, seorang pelajar Diploma Fotografi di Kolej Segi mendapat keputusan CGPA 2.04 pada semester ketiga. Dia menerima kenyataan tersebut dan menyedari bahwa keputusan yang ia perolehi adalah hasil daripada sikapnya sendiri yang tidak bersungguh-sungguh semasa belajar.


Sebaik sahaja masuk semester keempat Fitri mula berubah sikap kepada yang lebih positif, menjaga moral, studi bersungguh, tidak meninggalkan solat fardhu, kerapkali ke masjid dan banyak membantu ibu bapa. Apabila keputusan diperolehi, Fitri sangat gembira kerana bejaya meperolehi CGP 3.07 dan CGPA 2.77 bagi semester keempat.

Fitri tidak akan berjaya mendapat keputusan yang lebih baik sekiranya ia terus dengan sikap lama kerana tiadanya keberkatan. Allah memberi dan mengurniakan keberkatan kepada anda kerana anda banyak membuat sesuatu perkara yang betul dan berkelakuan baik.

Oleh itu anda hendaklah sentiasa melakukan perkara yang baik supaya keberkatan terus bertambah dan dalam masa yang sama anda perlu meninggalkan segala perkara dan kelakuan yang tidak baik bagi mengelakkan ketidakberkatan dan kekecewaan dalam hidup anda.

6. SENTIASA BERSYUKUR

Bersyukur sangat dituntut oleh Allah dan masyarakat. Ia adalah sebagai tanda terima kasih seseorang kepada Allah kerana telah berjaya mendapat sesuatu yang dingininya. Bersyukur tidak seharusnya terbatas kepada sesuatu yang berjaya dicapai atau dperolehi semata-mata tetapi perlu juga dilihat kepada kegagalan atau dalam keadaan biasa iaitu tidak dalam situasi yang menginginkan sesuatu. Bersyukur mempunyai beberapa tahap atau golongan iaitu:

a) Tak Mahu Bersyukur

Golongan ini sangat buruk sifatnya dan tidak disukai oleh Allah. Ia tidak mahu bersyukur dengan apa yang ia dapat dan sentiasa merasakan tidak cukup dengan apa yang diperolehi.

b) Bersyukur Apabila Berhasil

Golongan ini hanya beryukur setelah apa yang mereka hajati dapat diperolehi. Selagi tidak berjaya selagi itulah tidak akan bersyukur. Baginya buat apa beryukur kalau sesuatu yang dikehendaki tidak berhasil. Anda akan tergolong sebagai orang yang tidak baik pekerti sekiranya anda berada di tahap ini.

c) Sentiasa Bersyukur

Golongan ini sangat disenangi oleh Allah kerana sentiasa bersyukur dengan apa yang diterimanya setelah berusaha. Anda tetap bersyukur walaupun hasilnya baik atau kurang, rendah atau tinggi dan banyak atau sedikit. Bagi anda, kejayaan tidak semestinya pencapaian tetapi nikmat yang dianugerah Tuhan seperti mampu melihat, bergerak, bercakap, sihat dan berfikiran waras juga merupakan hasil pencapaian yang tidak ternilai. Allah akan menambahkan rezeki kepada anda jika anda sentiasa bersyukur.

Allah swt berfirman:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memaklumkan, 'Jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambahkan nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat Allah) maka sesungguhnya azabKu amat pedih'." (Ibrahim: 7)

Justeru itu, anda hendaklah berada pada tahap yang ketiga agar anda adalah tergolong di kalangan orang yang akan ditambahkan nikmat dan rahmat oleh Allah.

19 Januari 2020

5. RIAK PERLU DIHINDARI

Riak terjadi disebabkan amalan baik yang anda lakukan kerana mempunyai niat supaya sesiapa yang melihat, mendengar atau mengetahuinya akan memuji, menyanjung dan menghargai anda.

Hanya anda dan Tuhan sahaja yang mengetahui sama ada anda riak atau pun tidak. Ciri-ciri orang yang riak ialah:

a) Bertujuan untuk menunjuk-nunjuk amalan baik

b) Tidak ikhlas

c) Merasakan dirinya bijak

d) Berbangga dengan kebolehan dan kedudukan 

e) Sentiasa mengharapkan pujian 

f) Kurang mesra dengan mereka yang bertaraf lebih rendah atau kurang ilmu daripadanya

g) Menjadi rajin apabila orang melihat kerja baiknya dan tidak bersungguh-sungguh apabila tiada siapa yang melihat.   

Riak merupakan sikap yang perlu kita hindari. Selagi kita tidak membuangnya jika berada dalam diri kita selagi itulah kita tidak dapat memasuki golongan orang yang rendah hati. Orang riak tidak disukai oleh orang lain sedangakan orang yang rendah hati akan sentiasa disenangi.


4. HENDAKLAH DAN HENDAK

Perkataan hendaklah dan hendak seringkali digunakan oleh seseorang sama ada ketika berbual, berbincang, berceramah, berucap, berkhutbah, bermesyuarat, berlakon dan berkomunikasi. Walaupun nampak sama tetapi ia memberi maksud yang berlainan dan di samping itu ia juga memberi kesan yang berbeza.

Hendaklah lebih kepada menyuruh, mengarah atau memaksa. Contohnya, anda hendaklah mengerjakan solat, membaca buku, mematuhi disiplin, berjimat-cermat, menjaga kesihatan dan menjauhi maksiat. Ini menyebabkan anda tidak mampu melakukan perkara tersebut dengan kepuasan yang tinggi kerana anda merasakan seolah-olah dipaksa dan bukan dengan kerelaan hati anda.

Berbeza pula dengan hendak. Apabila anda hendak bererti anda mahu membuat sesuatu seperti anda mahu membaca buku, menjaga kesihatan, melakukan senaman, berpuasa, solat berjemaah, menjaga kualiti, membuat kebajikan dan belajar memasak. Ini menyebabkan anda sentiasa bersemangat dan bersungguh-sungguh melakukannya kerana anda sendiri yang hendak atau  mahu. Apabila anda melakukan sesuatu atas dasar anda sendiri yang mahu sudah tentu anda akan merasakan tahap kepuasan yang tinggi. 

Oleh itu jika anda hendak melakukan sesuatu dengan lebih baik dan berkesan anda perlu merubah cara berfikir daripada anda hendaklah kepada anda hendak atau mahu.

15 Januari 2020

3. KEWAJIPAN IBU BAPA TERHADAP ANAK

Pengenalan
Anak merupakan anugerah tertinggi daripada Allah kepada hambanya bergelar ibu bapa. Bukan semua pasangan yang berkahwin boleh mendapat anak walaupun telah berusaha dengan pelbagai cara. Ada pasangan mendapat anak dalam tempoh yang cepat selepas berkahwin dan ada yang lambat. Setengah daripada mereka masih terus berusaha untuk mendapatkan anak sehingga sanggup menghabiskan wang yang banyak tetapi masih belum berhasil. Betapa tingginya nilai seorang anak tidak dapat diukur dengan wang dan harta. Ibu bapa yang dianugerahi anak itu merupakan satu amanah besar daripada Allah kepada mereka. 

Bersyukur
Anak yang kita perolehi itu harus diringi dengan kesyukuran dan berterima kasih kepada Allah. Setiap kurniaan yang kita perolehi merupakan nikmat dan Allah menyuruh kita bersyukur seperti firmanNya, "Bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata." (Surah Al-Nahl:114). Kesyukuran yang kita tujukan kepada Allah bukan sahaja disuruh olehNya tetapi Allah juga akan menambahkan nikmat kepada kita. Allah berfirman, “Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhanmu memberitahu, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih’.” (Surah Ibrahim: 7). Sebaliknya ibu bapa akan menanggung penderitaan akibat daripada sikap mereka yang tidak mahu bersyukur atas nikmat yang Tuhan kurniakan.

Menjaga
Ibu bapa perlu menjaga anak mereka dengan baik, menyediakan makanan, pakaian dan memberi perlindungan keselamatan bagi memastikan proses pembesaran mereka berjalan dengan baik. Makanan yang diberi harus dijaga dari awal bagi mengelakkan daripada pelbagai penyakit yang boleh menimpa kepada anak-anak. Janganlah kita memberi mereka makanan yang tidak berkhasiat seperti makanan ringan dan gula-gula kerana makanan tersebut boleh mengakibatkan kerosakan kepada gigi dan juga saraf mereka dalam jangka masa panjang. Anak juga perlu disediakan pakaian yang sesuai untuk mengelakkan badan mereka terdedah kepada cuaca sama ada sejuk atau panas. Lampin yang dipakaikan kepada mereka tidak boleh dibiarkan terlalu lama supaya dapat mencegah daripada berlaku jangkitan kuman yang boleh merosak dan kesakitan kulit pada anak. Melindungi dan menjaga keselamatan anak menjadi tanggungjawab penting kepada ibu bapa memandangkan anak masih lagi kecil yang tidak dapat membezakan antara baik dan buruk.

Mendidik
Setiap anak yang dilahirkan adalah suci dan bersih daripada sebarang noda dan dosa. Pendidikan seimbang antara kebahagiaan dunia dan akhirat harus dititikberatkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak. Ibu bapa yang akan mencorakkan mereka untuk menjadi insan berguna atau tidak. Nabi bersabda, "Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibu bapa itulah yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi." (Hadis riwayat Bukhari: 1385). Mendidik anak biarlah bermula di peringkat awal lagi. Biarlah pendidikan awal yang kita berikan kepada anak mampu membentuk dirinya sebagai orang berpengetahuan, berkemahiran, berakhlak, berdikari dan beriman.

Pinjaman 
Allah memberi anak kepada kita hanyalah sebagai pinjaman semata-mata. Anak dalam keadaan baik itu diserahkan kepada kita untuk sementara waktu sahaja. Berapa lamakah masa anak itu akan berada bersama kita sama ada ketika masih kecil, kanak-kanak, remaja, dewasa atau tua tidak mampu dijangkakan. Pada bila-bila masa pun Allah boleh mengambilnya kembali. Daripada Allah anak itu datang kepada Allah jua dia dikembalikan. Ibu bapa harus menguruskan anak dengan baik supaya apabila sampai masa untuk dikembalikan semula kepada Maha Pencipta adalah dalam keadaan baik. Biarlah anak itu baik waktu dipinjam dan baik pula waktu dipulangkan. 

Amal Kebajikan 
Ibu bapa diberi peringatan oleh Allah bahawa anak yang kita perolehi itu merupakan perhiasan dunia sahaja. Setiap perhiasan itu bersifat sementara dan lama kelamaan ia akan mengalami kepudaran, kerosakan dan kemusnahan. Kita diberi pilihan sama ada ingin menjadikannya sebagai perhiasan kehidupan dunia semata-mata atau membangunkan menjadi anak yang berakhlak mulia serta banyak membuat amal kebajikan kepada masyarakat. Firman Allah, “Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal kebajikan yang terus-menerus adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.” (Surah Al-Kahfi: 46). Selain usaha ibu bapa untuk menjadikan anak mereka termasuk dalam golongan orang yang beramal kebajikan kita juga perlu banyak berdoa dan menaruh harapan kepada Allah agar anak kita diterima segala amalan kebajikannya. 

Ujian 
Walaupun anak merupakan anugerah Allah kepada ibu bapa tetapi dalam masa yang sama ia juga merupakan ujian kepada mereka. Ujian yang kita hadapi adalah pelbagai bentuk misalnya keadaan anak dari segi fizikal iaitu sama ada lengkap atau tidak, mental iaitu normal atau tidak dan tingkah laku iaitu baik atau tidak. Allah berfirman, "Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar." (Surah Al-Anfal: 28). Dalam proses pembesaran dan perjalanan anak menuju dewasa, ibu bapa banyak berhadapan dengan ujian. Mereka diuji dengan masa misalnya anak akan menangis tanpa mengira masa seperti tengah malam ketika kita sedang lena tidur. Ibu atau bapa terpaksa bangun melayani anak walau pun dalam keadaan mengantuk. Sekiranya anak sakit, kita perlu menjaga setiap masa sehinggalah ia sihat. Apabila anak sudah mula membesar kita pula berhadapan dengan tingkah lakunya yang menguji kesabaran kita seperti suka melawan atau memberontak. Waktu remaja pula kita diuji dengan sikapnya yang suka bergaul dengan rakan-rakan yang terlibat dengan gejala-gejala sosial. Semasa mereka dewasa pula kita diuji adakah mereka mengambil berat atau menjengok ketika kita sudah lanjut usia. Ibu bapa yang berjaya menempuh semua ujian tersebut akan mendapat kebaikan yang berupa pahala yang besar daripada Allah.

Rezeki 
Ibu bapa dilarang sama sekali membunuh anak kerana takut kepada kemiskinan hidup. Allah memberi jaminan kepada kita setiap anak yang lahir itu akan diberi rezeki secukupnya dan bahkan rezeki kita pun Allah akan berikan seperti FirmanNya, “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kemiskinan. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.” (Surah Al-Isra': 31). Bukti sudah banyak kita lihat bagaimana sebuah keluarga yang miskin dengan mencari nafkah seperti kata pepatah, kais pagi makan pagi kais petang makan petang tetapi kehidupan mereka tetap baik. Ada yang bekerja sebagai penoreh getah atau pesawah dengan tanggungan anak yang ramai tetapi akhirnya mereka hidup bahagia pada usia tua. Ini disebabkan anak-anak mereka berjaya dalam hidup seperti menjadi doktor, jurutera, peguam, guru, peniaga dan sebagainya. Anak mereka berlumba-lumba hendak membantu dan memberi kemudahan termasuk menyediakan rumah kediaman, kenderaan dan perbelanjaan kepada ibu bapa. Kita tidak perlu takut dengan kesusahan dan kemiskinan apabila Tuhan menganugerahkan anak kepada kita. 

Penutup
Apabila Allah menganugerahkan anak kepada kita sudah semestinya disediakan sekali dengan rezekinya. Kitalah yang mencorakkan anak yang bersih daripada dari noda dan dosa itu untuk menjadi insan yang beriman. Kesabaran, ketabahan dan bertawakkal adalah kunci utama dalam usaha membentuk anak yang beriman. 

31 Disember 2019

2. AMANAH

Pengenalan
Amanah merupakan kepercayaan yang diberikan kepada seseorang untuk melaksanakan tanggungjawab dan menjaganya dengan baik. Sikap amanah perlu dipupuk dan diamalkan oleh seseorang pada setiap masa. Orang beramanah sama ada sebagai pemimpin atau pekerja sangat diperlu dalam memajukan organisasi atau masyarakat. 

Melaksana
Sebarang amanah yang kita pikul atau pegang adalah menjadi tanggungjawab kita melaksana dan menyempurnakannya. Mungkin amanah itu berat tetapi disebabkan kita sanggup dan telah menerimanya maka tidak boleh tidak kita perlu menguruskan dengan baik amanah itu. Seorang individu menerima tawaran bekerja sebagai guru dengan bayaran gaji bulanan tertentu hendaklah menjalankan tugas seperti yang terkandung dalam surat penerimaan tawaran itu. Kegagalan melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang baik merupakan tindakan yang tidak beramanah. Sebaliknya guru itu adalah orang beramanah sekiranya dia dapat melaksanakan tanggungjawab selaras dengan surat tawaran kerja itu. Melaksana dan menyempurnakan apa yang kita dipertanggungjawabkan adalah ciri penting bagi orang beramanah. 

Menjaga 
Amanah dikaitkan dengan penjagaan sesuatu harta atau wang. Kita perlu menjaganya dengan baik selama masa kita diberi tanggunggjawab. Seorang bapa yang memiliki wang dan barang kemas meninggal dunia mempunyai anak-anak yang masih kecil. Dia telah mewasiatkan kepada adiknya supaya menyerahkan kepada anak-anaknya apabila mencapai umur 18 tahun. Adiknya adalah orang yang beramanah jika dapat menjaga harta itu dengan baik dan menyerahkan semua setelah sampai masanya. Orang beramanah merupakan orang yang berjaya menjaga harta atau wang dengan baik dan menyerahkan kembali kesemuanya kepada mereka yang berhak. 

Berkongsi
Rezeki yang kita terima daripada Tuhan tidak sama. Setengah orang memperolehi pendapatan yang sedikit dan setengahnya pula memiliki harta yang berlimpah. Harta yang kita terima adalah amanah Tuhan untuk kita agih-agihkan bukan sahaja untuk keperluan diri sendiri dan keluarga tetapi juga kepada orang yang memerlukan. Seorang pemilik syarikat beras yang kaya setiap tahun akan memperuntukkan sebahagian daripada pendapatannya untuk disumbangkan kepada mereka yang berhak menerimanya. Tindakan beliau itu mencerminkan beliau sebagai seorang yang beramanah kerana sedia berkongsi rezeki yang diterimanya. Orang beramanah sentiasa sanggup berkongsi atau berbahagi rezekinya dengan mereka yang berhak menerimanya.

Kesimpulan
Sesiapa yang memahami betapa besarnya kewajipan dalam melaksanakan tanggungjawab sesuatu perkara yang diserahkan kepadanya pasti tidak akan mengabaikan amanah itu. 

25 November 2019

1. JUJUR

Pengenalan
Jujur merupakan sifat terpuji yang perlu diamalkan oleh seseorang pada setiap masa. Kemuliaan diri seseorang itu terletak pada kejujurannya. Kejujuran bukan sifat semula jadi manusia dan oleh sebab itu ia hendaklah dipupuk dan dididik ke atas seseorang itu sejak dari kecil lagi. Mengamalkan kejujuran merupakan suatu proses yang berterusan dan selama-lamanya.

Dipercayai
Kejujuran seseorang itu dinilai melalui kata-kata dan perbuatannya. Kata-kata sahaja tidak cukup untuk orang lain mempercayai kita. Seorang ayah menceritakan kepada anaknya yang dia suka membaca buku pada waktu lapang. Anak-anak akan percaya dengan pengakuan itu apabila sering melihat ayah mereka membaca buku setiap kali ada kelapangan. Begitu juga seorang anak yang melanggar pasu bunga ketika bermain basikal kecil di ruang tamu berbohong ketika ditanya oleh ibunya dengan mengatakan dia tidak melakukannya. Selepas beberapa minit kemudian anak itu mengaku pula kerana adiknya memberitahu ibu yang dia nampak abangnya melanggar pasu itu. Ini boleh menyebabkan pada masa akan datang kata-kata anak itu kurang dipercayai oleh ibu dan adik serta orang di sekitarnya. Orang jujur akan sentiasa dipercayai oleh orang lain.

Disenangi
Orang jujur akan lebih disenangi oleh orang yang berada di sekeliling dan mengenalinya. Perasaan curiga dan bimbang terhadap orang jujur tidak wujud dalam diri mereka. Seorang pekerja di sebuah syarikat terjumpa dompet mengandungi kad pengenalan dan wang tunai melebihi RM500.00 telah berusaha mencari dan menyerahkan kepada pemiliknya. Apabila berita itu tersebar kepada rakan-rakan lain ternyata memberi kesan positif kepadanya iaitu pekerja lain akan merasa senang dengan sikapnya itu. Berbeza pula dengan orang tidak jujur, kehadiran mereka kurang disenangi oleh orang lain kerana wujud kebimbangan dan tanggapan negatif terhadap mereka. 

Dicontohi
Bersikap jujur dalam semua aspek kehidupan akan menjadi contoh teladan kepada keluarga, rakan dan anak buah kita. Seorang ibu yang menjual nasi lemak sentiasa menggunakan cili kering yang elok, membasuh dengan bersih dan menyimpan di tempat selamat akan diperhatikan oleh anak-anaknya dan mereka akan menganggap ibu mereka sebagai penjual nasi lemak yang jujur kerana sentiasa menjaga setiap proses masakan dengan baik. Kejujuran ibu itu akan dicontohi oleh anak-anaknya dalam kehidupan mereka. Orang yang tidak jujur tidak akan dijadikan contoh oleh orang lain walaupun mereka berkedudukan tinggi, berharta, berilmu atau pemimpin yang berpengaruh.

Penutup
Sikap jujur bukan sahaja memberi kekuatan dan kesan positif kepada kita yang mengamalkannya tetapi juga dapat mewujudkan keharmonian dan hubungan baik dengan orang lain di sekeliling kita. 

30. MENGENANG JASA

Kita dikenang kerana jasa yang pernah kita taburkan kepada orang lain atau masyarakat. Semasa kita berkeupayaan dari segi tenaga, harta, w...